Alhamdulillah...Novel pertama saya kini di pasaran! Memang sejak kecil saya teringin hendak melihat hasil karya saya tersusun di rak-rak kedai buku & akhirnya ia menjadi kenyataan!
Jangan lupa dapatkan di kedai-kedai buku. Turut dijual di MPH & Popular. Kalau anda ingin mendapatkannya secara online pun boleh. Harga? Tak mahal pun. RM17 sahaja ^_^ Jom baca sinopsis novel bergenre thriller ini.
Pertama kali menjejakkan kaki ke tanah tumpah darah ibunya, Dania Nakeisha Nelson tidak pernah menyangka akan bentuk kehidupan yang bakal dilalui di negara yang begitu asing baginya.
Sebagai seorang gadis, Dania juga mempunyai keinginan untuk mengharungi hari-hari zaman remajanya seperti mana remaja-remaja lain. Malangnya, paras rupa yang berbeza daripada gadis-gadis tempatan mengundang rasa tidak senang di kalangan mereka. Akibatnya, Dania terpinggir keseorangan tanpa teman.
Sehinggalah pada suatu hari, kemunculan seorang gadis yang menawarkan diri untuk mendampingi Dania sebagai teman sejati mengubah kehidupan Dania yang ketika itu berada di ambang kesepian. Anehnya, tiada siapa mengenali mahupun pernah melihat gadis yang dikenali sebagai Mulan itu. Hanya Dania seorang yang boleh berkomunikasi dan bersahabat dengan Mulan.
Sejak mendampingi Mulan, pelbagai peristiwa pelik lagi membingungkan mula menghantui Dania, lalu menambahkan lagi gelisah dan gusar di hati ibunya, Marina.
Marina dapat merasakan perubahan sikap Dania yang semakin hari semakin membimbangkan. Sebagai seorang ibu, dia tidak sanggup tragedi yang pernah berlaku suatu masa dahulu berulang kembali. Perkahwinan dengan Mahmud merupakan satu jalan singkat lagi drastik pilihan Marina untuk melupakan sejarah hitam sekali gus melindungi Dania daripada terus dihantui.
Kehadiran Fahri, jejaka yang menambat hati menambahkan lagi perisa di dalam hidup Dania. Walaupun kedua-duanya malu dan lidah masih kelu untuk berbicara soal hati, tetapi bahasa diam seolah-olah memberitahu bahawa mereka berkongsi satu rasa yang sama. Kiriman surat-surat berpuisi tanpa nama menguatkan lagi firasat Dania tentang perasaan Fahri terhadapnya.
Sebaliknya, tidak semudah itu kasih mereka bertaut. Syafinaz muncul membuat angkara. Adilah pula tidak pernah putus asa menuntut janji yang pernah ditabur. Anak di dalam kandungan Adilah menambahkan lagi ketebalan benteng pemisah di antara Fahri dan Dania. Fahri yang sudah tersepit dan terdesak itu mula hilang pertimbangan, lalu hasutan syaitan dijadikan pedoman.
Kematian misteri seorang demi seorang kenalan Dania menambahkan lagi keserabutan yang sedia ada. Antara cinta dan dendam bersulamkan sejarah silam; mampukah Dania dan Marina menghadapi semuanya? Siapakah sebenarnya Mulan? Apakah sebenarnya tragedi yang dimaksudkan? Adakah sejarah silam yang tersimpan rapi di dalam kotak hati seorang ibu akan terbongkar juga akhirnya? Atau, mungkinkah ia akan terus menjadi igauan ngeri dan menyayat hati sepanjang hayat mereka berdua?