Behind These Hazel Eyes





Pagi Isnin, 14 Mei 2012 adalah tarikh keramat yang pasti tidak dapat saya lupakan. Seperti biasa, anjing berwarna coklat yang diberi nama Comel itu datang untuk bersarapan. Dia makan apa sahaja yang kami beri. Sudah nasib anjing gelandangan; tidak berkira apa jua menu asalkan perut beralas.

Seusai menikmati makanan, Comel berehat-rehat di hadapan pagar kediaman kami. Memang dia begitu. Kalau ada burung-burung merpati yang turun ke tanah mencari makanan, dikejarnya sambil terlompat girang.

"Mak, kalau boleh buat rumah anjing kat depan rumah ni kan best. Kesian tengok dia lari sana-sini bila hujan."

"Buat nanti...MPSP saman pulak." jawab mak.

Selang beberapa minit, tiba-tiba sebuah van hijau dengan tulisan Majlis Perbandaran Seberang Perai berhenti betul-betul di hadapan rumah kami.

Astagfirullahalazim!!!

Saya tidak putus-putus beristighfar. Musibah apa pula ini? Maka keluarlah manusia-manusia dari perut van dengan sauk di tangan. Dari raut wajah mereka, tiada langsung seri yang boleh menenangkan mata yang melihat. 

Comel pula seperti sudah tahu, dia berlari meluru ke arah pagar rumah kami, dengan kaki hadapannya terangkat seolah-oleh meminta kami memberikan dia nyawa. Bunyi yang dikeluarkan seolah-olah dia sedang menangis & merayu. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sayunya hati saya & mak melihat keadaan Comel begitu.

"Ni apsal ni??? Hangpa nak buat apa ni???" saya bertanya kepada salah seorang daripada sekumpulan manusia-manusia jahanam itu.

"Kami nak tangkap anjing ni." jawab salah seorang daripada mereka. Wajahnya memang seperti meminta diberikan penampar.

"Hangpa tangkap nak buat apa??? Bunuh???" tanya saya lagi walaupun saya sudah tahu. Di dalam kepala sedang tercari-cari jalan untuk menyelamatkan Comel.

"Ha'ah bunuhlah." jawabnya selamba. Wajahnya itu bukan sahaja seolah-olah laparkan penampar, tetapi tendangan juga patut diberikan.

"Ni kucing pun hangpa nak bunuh jugak???"

"Tak, kucing kami tangkap pastu bagi kat orang. Anjing tu kalau tak mau kena bunuh, bela." jawabnya lagi sambil melarikan anak matanya yang langsung tak punya daya tarikan itu. Puiiihhh!!!

"Apsal tak tangkap, mandulkan & bagi orang bela atau lepaskan saja?" saya memang tidak puas hati!

"Susah...dah peraturan kita macam tu kan..."

Bodoh! Peraturan itu dibuat oleh manusia & bila-bila masa saja boleh ditukar. Kenapa susah sangat untuk meminda sesuatu peraturan yang sangat tidak berperikemanusiaan ini? Siapalah si bodoh yang mengusulkan peraturan membunuh sebagai jalan penyelesaian kepada masalah peningkatan populasi haiwan jalanan???

Saya menoleh ke belakang memandang abah yang tercegat di pintu. Saya tahu abah juga dalam keadaan terkejut. Abah bersetuju untuk memelihara Comel kerana kami tiada pilihan lain. Demi menyelamatkan sebuah nyawa yang tidak berdosa...dia juga makhluk ALLAH yang kita tidak boleh nafikan haknya untuk hidup di bumi ini.

Jahanamlah jiran-jiran tetangga di sini yang berhati busuk yang melaporkan hal anjing ini kepada pihak berkuasa tempatan yang sememangnya zalim. Merekalah manusia yang cukup hina kerana mempunyai akal tetapi tidak menggunakannya, bahkan berfikiran & bertindak berlandaskan nafsu dek kebencian terhadap haiwan jalanan yang tidak berdosa ini yang sememangnya sudah berakar umbi di dalam hati mereka; warisan keturunan mereka juga!

"Kami nak bela anjing ni!!! Tak payah nak bunuh ka hapa!!!"

"Kalau nak bela, simpan dalam kawasan rumah. Kalau kami nampak dok jalan merata kami bunuh:"

Tapi si Comel pula sudah melarikan diri. Kemungkinan ke lorong di belakang rumah kami.

"Dah hangpa dok sini dia lari la! Aku nak amik letak dalam ni macam mana???!!!"

Maka berlalulah makhluk-makhluk jahanam itu dari situ. Saya ingatkan mereka sudah berambus. Tetapi rupa-rupanya mereka berhenti jauh sedikit, lebih kurang selang 8 buah rumah dari rumah kami. 

Terlihatlah sekujur tubuh seekor anjing jalanan yang tidak berdaya disauk di bahagian kepala & kaki belakang lalu diseret. Saya segera menghampiri. Sekali lagi saya beristighfar. Sungguh zalim haiwan itu diperlakukan...&...saya tidak sanggup lagi melihatnya.

Saya berlari ke rumah & menangis sepanjang jalan. Ya, jiran-jiran lain yang berkumpul untuk melihat peristiwa itu melihat saya dengan rasa hairan. Mereka berasa hairan kerana bagi mereka, membunuh haiwan jalanan adalah perkara biasa & mereka menyokong perlakuan kejam itu.

Saya juga berasa hairan melihat mereka & pada masa yang sama saya bersimpati terhadap jiran-jiran kerana mereka memiliki hati yang keras.

Sejak hari itulah Comel menumpang berteduh di car porch kediaman kami. Selang beberapa bulan, seekor anak anjing yang diberi nama Papi menjadi kawan Comel & sama-sama menumpang hidup di sini. Saya pernah mengiklankan Comel & Papi untuk mencari adopter untuk mereka tetapi gagal.

Maka berkelanalah mereka di sini. Mereka di sini bukan sebagai pet, tetapi sebagai penjaga rumah kami.

Tidak dinafikan ada beberapa episod drama apabila sekian-sekian jabatan datang ke rumah & campur tangan, kononnya untuk mentarbiyyahkan kami hasil laporan yang diterima daripada jiran-jiran berhati bangkai ini.

Kami dicemuh, dihina & dipulau oleh jiran tetangga yang berhati busuk. Malah ahli keluarga sendiri pun mencemuh & memulaukan kami. Alhamdulillah, kami redha. Yang penting, ALLAH tahu niat kami & hanya DIA yang berhak menilai kami.

Saya pula...

I blamed myself over & over for not taking any photo or video to prove how cruel these people are. 

Damn! Kami tidak punya bukti untuk dtunjukkan kepada dunia.

Benda yang langsung tidak kita jangka, ditambah dengan rasa gabra & serabut di kepala...Tetapi ALLAH menjadi saksi kezaliman yang berlaku ke atas makhluk lain ciptaanNya & jika ada penafian oleh pihak berkuasa yang jahanam itu, saya tidak hairan langsung. Kalau mereka sanggup membunuh, setakat menipu & memutar belit cerita itu apalah sangat.

Walau apa pun alasannya, masih ada cara lain untuk mengawal populasi haiwan jalanan, bukan dengan cara membunuh. Contohnya seperti program Trap, Neuter & Release yang sudah dipraktikkan di negara-negara maju. Hanya negara kita saja yang ketinggalan, masih di takuk lama dengan cara pemikiran primitif lagi kuno.

Semoga ALLAH melindungi haiwan-haiwan jalanan daripada terus-terusan menjadi mangsa manusia-manusia jahanam ini. Amin...


Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

 

Hani El Zahra Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review