Apa Dosa Kami?

ditaip oleh Hani El Zahra at 2:25 PG

Pertengahan tahun 2012, negara dikejutkan dengan beberapa insiden sadis lagi tragis di mana ia membabitkan anjing. Bermula dengan kematian seorang warga emas yang maut digigit anjing baka Pitbull Terrier yang terlepas dari rumah pemiliknya, diikuti pula dengan tragedi pilu lagi ngeri yang terjadi ke atas seorang pengembala lembu di mana mayatnya diratah 3 ekor anjing liar & disaksikan sendiri oleh ahli keluarga mangsa.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat. Pasti kejadian-kejadian ini menjadi suatu igauan ngeri dalam hidup keluarga mangsa.

Persoalannya, wajarkah kita menyalahkan anjing yang tidak mempunyai akal?

Dikhuatiri jika kita menyalahkan anjing, kita pula yang tidak tahu menggunakan akal. Tidak wajar kita menyalahkan anjing-anjing ini. Mereka tidak pernah bersekolah & tentu saja mereka tidak punya kesedaran sivik. Tetapi bagaimanapun, saya tidak menyangkal sesetengah pendapat bahawa anjing adalah di antara spesis haiwan yang setia & cerdik.

Jika anda berbuat baik kepada seekor anjing, nescaya ia juga akan berbuat baik & menjaga anda. Tetapi jika anda pernah menganiaya, membaling batu atau sengaja mencederakan anjing tanpa sebab (terutama sekali jika anjing itu tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap anda, tetapi ia sekadar tumpang lalu untuk mencari makan), sesungguhnya anda memang seorang manusia yang gemar mengutip dosa.


Ada sebab mengapa saya terpanggil untuk menconteng blog saya dan ceritanya berkisar tentang anjing. Buat pengetahuan anda, tanggal 14 Mei lepas, saya telah menyaksikan episod kekejaman manusia terhadap haiwan-haiwan jalanan, khususnya anjing.

Sesungguhnya saya amat benci mengingati peristiwa hari itu, di mana anjing-anjing jalanan di taman perumahan yang saya diami sejak tahun 1986 ini dibunuh kejam oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sebelum ini, walaupun hanya melihat gambar-gambar pembunuhan haiwan secara kejam di Internet membuatkan darah saya berderau & air mata bertakung, inikan pula pembunuhan kejam yang berlaku di hadapan mata sendiri!

Sejak hari itu, saya menjadi trauma. Terus-terang saya katakan di sini saya begitu kesal dengan pihak berkuasa & kerajaan yang zalim! Banggakah anda memberi makan anak isteri dengan pendapatan hasil membunuh haiwan-haiwan yang tidak berdosa ini? Semoga ALLAH SWT membalas perbuatan jahat & keji mereka yang terlibat secara langsung & tidak langsung dalam pembunuhan haiwan-haiwan jalanan yang tidak berdosa ini!

Anjing-anjing di sini tidak pernah menyerang sesiapa. Mereka hanya menumpang lalu untuk mencari makanan. Saya pernah terserempak dengan sekumpulan anjing yang terdiri dalam 7-8 ekor tetapi mereka langsung tidak menyerang saya. Kami sama-sama berjalan dengan selamba.

Tetapi alasan yang sangat stupid & lame oleh penduduk di sini bahawa anjing-anjing masuk ke dalam halaman rumah apabila pagar dibiarkan terbuka.  
Hello! Kalau pagar rumah dibiarkan terbuka macam tu, bukan setakat anjing, tapi segala penyangak, penyamun, penculik, perogol & pembunuh pun boleh masuk ke dalam rumah anda! Faham?!

Apa yang paling membuatkan saya marah & geram, ketika anjing itu dibunuh pihak rejim zionis MPSP, penduduk-penduduk di sini hanya menonton tanpa sebarang perasaan kurang senang; seolah-olah kekejaman itu tidak bermakna apa-apa bagi mereka.
 
Benar, Islam membenarkan kita membunuh anjing, tetapi anjing yang menggigit, yang memudaratkan manusia, serta yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dahulu, mereka diarah membunuh anjing hitam yang mempunyai 2 titik di atas mata kerana itu bukan anjing tetapi syaitan yang menyerupai anjing.

Tetapi apa hak kita untuk membunuh anjing-anjing yang tidak berdosa dan sekadar menumpang hidup di atas muka bumi ini? Mulia sangatkah kita sehingga kita menghina anjing-anjing ini? Sedangkan seekor anjing yang bernama Qitmir yang bersama-sama para pemuda Ashabul Kahfi dimuliakan & dimasukkan ke dalam syurga, layakkah kita untuk masuk ke syurgaNya dengan hati kita yang tidak punya rasa kasih sesama makhluk & berlaku kejam ke atas mereka? Layakkah kita?


Saya teringat akan kisah yang diceritakan melalui Aunty Umairah Fan Club, beliau adalah antara insan berhati mulia yang sanggup memberi makan kepada anjing-anjing jalanan. Malah pekerjaan murni itu sudah menjadi rutin hidup beliau setiap hari. Diceritakan oleh beliau akan sikap kejam penduduk di taman perumahan yang beliau diami. Seekor ibu anjing digantung sampai mati di dahan pokok manakala anak-anak anjing yang masih menyusu itu dibiarkan mati kelaparan di dalam longkang. Mereka menyaksikan kekejaman itu tetapi masing-masing menutup pekung si durjana yang melakukan perbuatan keji itu.

Apa dosa ibu anjing & anak-anak anjing itu diperlakukan sekejam itu? Kenapa apabila haiwan diseksa sebegini rupa, tiada pihak media yang datang membuat liputan & menyebarkan tentang betapa jijik & hinanya perilaku seorang manusia yang berjiwa syaitan? Kalau ada pun, sekejap cuma & kemudian kes ditutup atau masyarakat di'distract' dengan berita-berita lain pula. Tetapi apabila anjing membaham manusia, media massa berlumba-lumba mewar-warkan kepada semua dan kemudian pihak berkuasa mula tunjuk belang & akibatnya habis semua haiwan jalanan yang tidak berdosa turut menjadi mangsa!

Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.”
(Hadits riwayat Ahmad)

Sewaktu perjalanan Rasulullah SAW dari Madinah ke Mekah pada tahun kemenangan (Ya'um al fath) atas kota Mekah. Nabi melihat seekor ibu anjing berbaring di sisi jalan dengan anaknya yang baru lahir. Anjing itu sedang menyusukan anak-anaknya. Baginda khuatir pasukan Islam yang ramai itu akan mengganggu keasyikkan anak anjing itu menyusu atau mungkin akan mencederakannya. Maka Rasullulah SAW telah menyuruh seorang sahabat yang bernama Ju'ayl untuk menjaga anjing itu sehingga habis pasukan Islam melewati anjing itu. Lihatlah betapa mulianya pekerti Rasulullah SAW berbanding kita. Beliau bukan sahaja berbuat baik kepada manusia bahkan berbuat baik kepada setiap yang bernyawa. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasullulah SAW, apakah kami memperoleh pahala kerana kami berbuat baik kepada haiwan?” Rasullulah SAW menjawab, “Kita memperoleh pahala kerana berbuat baik kepada setiap yang bernyawa.”

Pada pendapat saya secara peribadi, antara sebab mengapa anjing menyerang manusia adalah:
  1. Mereka terlalu lapar - mentaliti masyarakat kita yang memandang hina terhadap anjing seolah-olah seperti sampah. Anjing juga makhluk ALLAH SWT yang berhak hidup, tahu merasa lapar & sakit. Rule of survival; is to do whatever is necessary. Anjing-anjing yang menyerang manusia mungkin kerana tiada pilihan lain tetapi didesak dek kerana rasa lapar yang menggila. Apa salahnya kita berkongsi rezeki dengan mereka? Kita tidak akan jatuh miskin hanya kerana berkongsi rezeki dengan haiwan-haiwan ini! Malah ALLAH SWT akan membalasnya dengan bilangan yang berlipat ganda jika kita benar-benar ikhlas.
  2. Mereka tidak kenal manusia lain - oleh kerana undang-undang yang tidak membenarkan pemilik-pemilik anjing melepaskan anjing mereka kecuali diiringi pemilik, maka anjing-anjing ini tidak kenal orang lain kecuali pemilik serta ahli keluarga pemilik yang terdekat sahaja. Oleh yang demikian, anjing itu akan menganggap orang lain selain pemilik & ahli keluarga terdekat pemilik adalah ancaman baginya.
  3. Mereka hanya kenal geng mereka sahaja - maksudnya; mereka hanya berkawan sesama anjing. Oleh kerana manusia sering menghina, mengherdik, membaling batu, memukul dengan kayu & sebagainya, anjing-anjing ini menjadi takut & tidak senang dengan kehadiran manusia. Sehubungan dengan itu, mereka akan menyerang manusia yang dianggap sebagai ancaman dan berbahaya terhadap mereka.

Jadi salah siapa? Tanyalah diri anda sendiri.

Bagi saya, SALAH KITA SENDIRI YANG TERLALU MEMENTINGKAN DIRI & MENGANGGAP DUNIA INI HANYA BOLEH DIHUNI OLEH MANUSIA SAHAJA. Salah kita, sama ada sebagai anggota masyarakat & juga pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan haiwan-haiwan ini. Kita perlu sedar, bukan manusia sahaja yang berhak hidup di atas muka bumi. ALLAH SWT menjadikan makhluk-makhluk lain sebagai amanah untuk kita, supaya kita dapat belajar & sebagai ikhtibar dalam hidup kita.

Malah mentaliti masyarakat juga harus diperbetulkan. Terus-terang saya sudah muak dengan tanggapan & persepsi masyarakat yang meletakkan terus hukum haram apabila hal-hal yang bersangkutan dengan anjing. Tolonglah, jangan mudah serkap jarang dalam meletakkan sesuatu hukum. Kaji seluas-luasnya & tanyalah mereka yang arif & berilmu supaya semuanya lebih jelas & nyata.

Ironinya, hal-hal lain yang terang-terangan haram; seperti maksiat, meminum arak, rasuah, berjudi dan perkara-perkara yang membawa kepada kemudaratan seperti tabiat merokok dan sebagainya, masyarakat tutup sebelah mata sahaja. Malah boleh pula menghalalkan yang haram itu kerana mereka juga terlibat dalam melakukannya. Pelik bukan?


Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

 

Hani El Zahra Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review