ALLAH Masih Sayangkan Kita

ditaip oleh Hani El Zahra at 5:02 PG

Sebagai manusia biasa, kita semua tidak terlepas dengan ujian dan dugaan yang diberikan ALLAH SWT. Tidak kiralah sama ada ujian itu kecil sahaja mahupun sebesar-besar ujian.

Sebagai manusia juga, kita kadang-kadang terlepas cakap dan menyalahkan takdir. Astagfirullahala'zim...tidakkah kita sedar bahawa kita sepatutnya bersyukur kerana diberi ujian oleh ALLAH SWT?

Sesungguhnya ujian yang diberikan itu adalah nikmat yang diberikan supaya kita sedar dan tidak alpa dengan kekayaan, cinta palsu dan kesenangan dunia yang tidak kekal. Sesungguhnya manusia mudah lupa apabila diri diulit nikmat dunia yang tidak seberapa ini. Kita menjadi lalai dan sombong dengan ALLAH SWT kerana terlalu taksub dengan dunia. Kita jadi lupa untuk bermanja dan meminta dari ALLAH SWT kerana kita mengganggap kita sudah ada segala-galanya, buat apa minta lagi?

Salah! Sesungguhnya ALLAH SWT amat suka jika kita ingat dan meminta dariNYA. ALLAH SWT tidak pernah lupakan kita. ALLAH Maha Pemurah, maka Dia suka memberi. ALLAH Maha Penyayang, maka Dia menyayangi hamba-hambaNYA yang taat.

Apa kaitannya dengan kesusahan dan ujian yang diberikan ALLAH SWT?

Gambar sekadar hiasan

Manusia biasanya mula merintih dan mengingati ALLAH SWT apabila diri ditimpa musibah. Tidak kiralah apa jua dugaan dan ujian yang diberikan; putus cinta, kehilangan orang tersayang, kehilangan harta benda.Pada waktu inilah kita mula menitiskan air mata meminta pertolongan dariNya. Pada masa susah dan terhimpit inilah kita mula bermanja-manja dengan ALLAH SWT dengan selalu menyebut namaNYA yang mulia agar diri lebih tenang. Sebab itulah ALLAH SWT memberi kita ujian, kerana Dia sayangkan kita dan mahu kita mendekatkan diri padaNya.

Sesungguhnya kerana kasih sayang ALLAH SWT itulah yang menyedarkan kita. ALLAH SWT akan membuka hijab segala bentuk kepalsuan dunia agar kita sedar dan agar kita dapat meyelamatkan diri dari terus hanyut.

Jangan ditanya kenapa kita ditimpa musibah dan diberi ujian tanpa henti. Itu semua kehendak ALLAH SWT kerana Dia sayangkan kita dan Dia mahu menguji sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran kita. Semakin banyak ujian yang diberikan, semakin tinggi kasih sayang ALLAH SWT terhadap kita. Berbanding orang yang tidak diberi ujian, mungkin kurang sedikit kasih sayang ALLAH SWT kerana Dia masih belum mahu menyedarkan mereka. Hanya ALLAH yang Maha mengetahui.

Tetapi ingatlah, ALLAH SWT memberi ujian mengikut tahap kemampuan hambaNya. Dia tidak akan memberi ujian yang tidak termampu untuk diharungi oleh hambaNya itu. Percayalah bahawa ada hikmah di sebalik semua kejadian. Tentunya hikmah yang tersembunyi itu adalah untuk kebaikan kita kerana ALLAH SWT sayangkan kita dan hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Wallahualam.

Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

 

Hani El Zahra Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review