Memaparkan catatan dengan label e-novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label e-novel. Papar semua catatan

E-Novel: Sayang Hamtaro (Bab 2)

ditaip oleh Hani El Zahra at 8:01 PTG 2 000 orang comel komen sini
                            

Klik SINI untuk membaca Bab 1

Jenab Kembang mengaduh. Urat-urat pinggangnya terpulas, barangkali sudah bersimpul. Beg plastik yang dibawanya tersadai di sebelah. Bawang besar dua kilo yang diborong di kedai Senah Rempit tadi tergolek di sana sini. Ada juga yang tergolek masuk ke dalam longkang yang baunya mengalahkan bau bangkai biawak.

Paling Jenab Kembang tidak tahan, telapak tangannya mendarat elok-elok di atas najis lembu. Masih lembik dan panas lagi. Lahabau punya lembu! Ini mesti kerja lembu-lembu si Sugumaran! Lembu-lembu dia sahaja yang suka meronda di sini! Tuduh Jenab Kembang di dalam hati.

Meon terkebil-kebil. Sangkanya dia terlanggar lembu tadi, rupa-rupanya manusia. Cepat-cepat Meon kutip bawang-bawang yang masih boleh diselamatkan lalu dimasukkan semula ke dalam beg plastik. Dalam hati Meon menikus. Meon takut benar kalau tapak tangan Jenab Kembang yang sememangnya kembang itu naik ke muka Meon. Meon tidak sanggup wajahnya bertempek najis lembu.

Padil dan budak-budak itu semakin galak. Kalau tadi mereka hanya gelakkan Meon, tetapi sekarang aksi berani mati Jenab Kembang membuatkan budak-budak itu semakin menjadi-jadi. Urat perut mereka seperti hendak putus melihat Jenab Kembang landing baik punya. Mereka amat pasti, Meon pasti dimaki hamun dek Jenab Kembang nanti.

“Setan punya budak-budak! Kau orang gelakkan aku ya?!”

Jenab Kembang menggentel-gentel najis lembu yang bertempek itu menjadi sebesar guli, lalu dibaling ke arah budak-budak berlima itu. Mereka bertempiaran menyelamatkan diri dari terkena peluru tidak berpandu Jenab Kembang.

“Nah! Amik lagi!”

Peluru berbau kelat dan masam itu berterbangan di udara.  Beberapa butir mengenai sasaran. Budak-budak itu pula terjerit-jerit seperti terkena histeria apabila peluru Jenab Kembang mengenai tubuh mereka. Mangsa yang paling parah tentunya Padil. Lariannya tidak sekuat budak-budak yang lain. Perutnya yang boroi itu bergoyang-goyang.

“Rasakan! Kau orang gelakkan aku lagi ya?! Amik ni!”

Meon ternganga melihat Jenab Kembang yang seakan-akan lupa diri mengalahkan perangai kanak-kanak darjah dua. Tetapi Meon tidak mahu masuk campur. Meon tidak mahu dirinya pula yang menjadi mangsa peluru najis lembu itu.  Eeeiii, tak sanggup!

Setelah budak-budak berlima yang terpekik terlolong seperti baru disampuk jin itu jauh menghilangkan diri, barulah Jenab Kembang berhenti. Termengah-mengah wanita separuh abad itu. Dadanya berombak sakan. Padahal dia bukannya berlari seperti budak-budak itu pun. Dia masih terduduk di situ.

“Mak cik…minta maaf!” berkerut-kerut muka Meon. Beg plastik berisi bawang yang dikutip tadi dihulur ke arah Jenab Kembang.

“Hei, aku pula nak kena minta maaf kat kau? Banyak hensem muka kau?! Ni…kau nampak tangan aku ni? Nak aku tempek kat muka kau pula?!”

“Erk..” Meon menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Baru dia sedar bahawa ayat serta intonasi yang digunakan tadi salah. Tentu Jenab Kembang juga tersalah tafsir.

“Bukan, bukan! Aku minta maaf mak cik.”

Jenab Kembang mendengus. “Banyaklah kau punya maaf! Tangan aku ni, siapa nak cuci? Kau nak cuci?”

“Erk…tak nak!”

Meon memecut. Sumpah dia tidak mahu mencuci tangan Jenab Kembang yang bertempek najis lembu itu. Walaupun diberi upah lima puluh sen pun dia tidak sanggup!

“Hoi! Kalau ye pun, tolonglah angkat aku bangun!” jerit Jenab Kembang.

Meon tidak berpaling pun. Dia takut Jenab Kembang hanya membuat muslihat. Entah-entah kalau dia menolong Jenab Kembang bangun, nanti dia akan dipaksa mencuci tangan Jenab Kembang pula. Meon tidak mahu! Lagipun Jenab Kembang berat. Mustahil budak lelaki bertubuh kecil sepertinya mampu mengangkat Jenab Kembang.

Meon terus memecut, sampai bayang Jenab Kembang pun tidak dapat dilihat lagi. Lagipun waktu sudah hampir maghrib. Kata emak, kalau langit semakin gelap, maksudnya sudah hendak masuk waktu maghrib. Kata emak lagi, kalau sudah masuk waktu maghrib, banyak hantu merayau-rayau di sini.

Meon tidak pernah tengok hantu. Kalau pernah pun, Meon ternampak di kaca televisyen di gerai makan Ramli Sirap. Orang cakap wajah hantu hodoh dan menakutkan. Tapi bila Meon nampak di kaca televisyen hari itu, macam manusia yang bertempek bedak sejuk sahaja.

Kalau begitulah rupa sebenar hantu, maknanya hari-hari Meon nampak hantu. Emak hari-hari pakai bedak sejuk. Rambut emak juga mengerbang macam hantu. Jadi tiada beza antara rupa hantu dengan emak. Buat apa Meon takut dengan hantu kalau rupa hantu sama saja macam rupa emak?

Meon lega. Dia kini betul-betul berada di hadapan pintu rumahnya yang sudah tertutup rapat. Memang kebiasaan apabila petang semakin tua, emak akan menutup pintu. Selalunya Meon pulang awal, sebelum emak menutup pintu. Cuma hari ini Meon terlewat sedikit.

Meon baru sahaja hendak menguak pintu apabila satu lembaga bertempek bedak sejuk dengan rambut mengerbang, terlebih dahulu membuka pintu sambil bercekak pinggang menyambut kepulangan Meon.


Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

E-Novel: Sayang Hamtaro (Bab 1)

ditaip oleh Hani El Zahra at 1:01 PG 1 000 orang comel komen sini

“Hei! Pergi sanalah! Siapa yang hendak berkawan dengan kau! Kau tu buruk! Kotor! Busuk! Bodoh pula tu!”

Mata Meon berkelip-kelip mendengar sumpah seranah Padil yang kejam itu. Sesekali Meon lap hingusnya yang meleleh dengan belakang telapak tangan. Tangannya yang comot dengan lendir-lendir kuning yang melengas itu kemudiannya disapukan pula pada kemeja-T lusuh dan bercompang-camping.  Di bahagian bawah lengan bajunya pula sudah berlubang-lubang. Apabila disapa angin, wah macam aircond!

“Aku pun nak main juga.” kata Meon, tidak tahu malu. Sudah masuk lima kali dia memujuk-mujuk Padil supaya dia dapat bermain bola sepak bersama Padil dan kawan-kawan.

“Aku kata tak boleh, tak bolehlah! Tak reti-reti lagi?” jerkah Padil lagi.

Padil bukan abang Meon, bukan juga bapa Meon. Padil juga bukan ketua kampung atau anak ketua kampung. Bagaimana pula mereka hendak ada ketua kampung kalau mereka tinggal di kawasan setinggan?

“Kenapa aku tak boleh main?”

“Sebab kau tu buruk! Faham?!”

Meon angguk, tanda faham. Tapi Meon tidak faham, kenapa pula dia tidak boleh bermain bersama-sama Padil dan kawan-kawan hanya kerana dirinya dipanggil buruk?


“Tapi aku nak main juga.”

Mata Padil mulai merah. Hidungnya kembang kempis, seperti kerbau jantan yang sedang marah kerana dilayangkan kain merah di hadapan mata. Cuma tidak ada asap berkepul-kepul yang keluar dari lubang hidung Padil yang besar.

“Bongok!” 

Serentak itu juga Meon terhumban ke tanah. Wajahnya mencium lumpur pekat yang berbau hanyir. Malah Meon tertelan sedikit jus selut itu. Meon tersedak-sedak.

“Hahahahahahahahaha!!!”

Ketawa pecah berdekah-dekah. Padil gelak paling kuat di antara semua. Betapa bangganya dia dapat menumbuk wajah kecil milik tubuh kurus kering itu tadi. Aksi Meon yang memusing setelah mukanya ditumbuk tidak ubah seperti aksi di dalam filem Tamil.

“Nak lagi?”

Meon bangun perlahan-lahan. Tangannya menyapu selut-selut yang sudah menjadi seperti topeng. Kalau dibiarkan kering, pasti boleh jadi seperti clay mask yang dipakai wanita-wanita kononnya untuk mencantikkan kulit.

Padil masih lagi ketawa. Perutnya yang boroi seperti perut orang kaki todi terhinggut-hinggut sekali. Kalau diikutkan hati, mahu saja Meon cucuk perut Padil dengan jarum, biar meletup macam belon.

Meon angkat kaki dari situ. Kalau ditunnggu lagi, bukannya dapat main. Kalau merayu macam mana sekali pun, tetapi Padil tidak membenarkan Meon main bersama. Entah-entah, lagi teruk pula tubuh kurus kering yang hanya punya tulang dan kulit milik Meon dibelasah.

“Buruk! Buruk! Buruk!”

Meon pekakkan telinga. Meon tidak marah. Malah, telinga Meon sudah lali dengan panggilan itu. Sudah jadi seperti nama glamour pula. Meon tidak pasti kenapa dia dipanggil buruk. Kata emak, Meon kacak, Meon tampan. Tapi kena tunggu sampai Meon besar. Sekarang ini pun bukan Meon tidak kacak, tidak tampan. Kata emak lagi, cuma Meon comot sahaja, bukan buruk.

Meon tengok Padil pun bukannya elok sangat. Kulitnya hitam legam dan ada kudis. Giginya rongak dimakan ulat dan perutnya boroi. Kepalanya pula gondol. Emak Padil membotakkan kepala Padil kerana kutu suka benar tinggal di sana. Kenapa pula orang tak panggil dia buruk? Kenapa Padil sendiri tak panggil dirinya buruk?

“Busuk! Busuk! Busuk!”

Meon mempercepatkan langkah. Meon tahu dirinya busuk. Bukan Meon seorang, tapi Padil dan kawan-kawan juga berbau busuk. Emak dan adik-adik juga busuk. Malah, orang-orang yang tinggal di kawasan setinggan ini semuanya busuk. 

Macam mana tidak busuk kalau mandi pun hanya sekali sehari. Bekalan air juga dicatu. Kalau ada yang rajin, bolehlah mengangkut air dari sungai yang jaraknya lebih tiga kilometer dari kawasan setinggan ini. Kalau nak berjalan sambil mengangkut air sejauh itu, boleh gugur tempurung lutut. Kalau hendak naik kenderaan, siapa yang ada kenderaan di sini? Penduduk di kawasan setinggan ini daif. Kalau punya basikal itu sudah dianggap berada.

“Buruk! Busuk! Puiiiihhhh!”

Kahak putih susu melekat di atas kepala Meon. Meon sapu kahak itu dengan tangan lalu mengelapkannya pada baju. Meon berpaling pada Padil dan konco-konconya. Mereka semua terbahak-bahak gelakkan Meon.

Meon atur langkah sambil matanya tidak lepas memandang budak-budak itu. Meon sedih, Meon marah, Meon geram. Tetapi Meon tidak mampu mengubah mereka supaya sukakan Meon.

Meon berjalan lagi. Tiba-tiba Meon terlanggar sesuatu; besar tetapi lembik. Meon tersentak.

“Hoi budak ini!”

Klik SINI untuk membaca Bab 2 


Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

 

Hani El Zahra Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review