E-Novel: Sayang Hamtaro (Bab 1)

ditaip oleh Hani El Zahra at 1:01 PG

“Hei! Pergi sanalah! Siapa yang hendak berkawan dengan kau! Kau tu buruk! Kotor! Busuk! Bodoh pula tu!”

Mata Meon berkelip-kelip mendengar sumpah seranah Padil yang kejam itu. Sesekali Meon lap hingusnya yang meleleh dengan belakang telapak tangan. Tangannya yang comot dengan lendir-lendir kuning yang melengas itu kemudiannya disapukan pula pada kemeja-T lusuh dan bercompang-camping.  Di bahagian bawah lengan bajunya pula sudah berlubang-lubang. Apabila disapa angin, wah macam aircond!

“Aku pun nak main juga.” kata Meon, tidak tahu malu. Sudah masuk lima kali dia memujuk-mujuk Padil supaya dia dapat bermain bola sepak bersama Padil dan kawan-kawan.

“Aku kata tak boleh, tak bolehlah! Tak reti-reti lagi?” jerkah Padil lagi.

Padil bukan abang Meon, bukan juga bapa Meon. Padil juga bukan ketua kampung atau anak ketua kampung. Bagaimana pula mereka hendak ada ketua kampung kalau mereka tinggal di kawasan setinggan?

“Kenapa aku tak boleh main?”

“Sebab kau tu buruk! Faham?!”

Meon angguk, tanda faham. Tapi Meon tidak faham, kenapa pula dia tidak boleh bermain bersama-sama Padil dan kawan-kawan hanya kerana dirinya dipanggil buruk?


“Tapi aku nak main juga.”

Mata Padil mulai merah. Hidungnya kembang kempis, seperti kerbau jantan yang sedang marah kerana dilayangkan kain merah di hadapan mata. Cuma tidak ada asap berkepul-kepul yang keluar dari lubang hidung Padil yang besar.

“Bongok!” 

Serentak itu juga Meon terhumban ke tanah. Wajahnya mencium lumpur pekat yang berbau hanyir. Malah Meon tertelan sedikit jus selut itu. Meon tersedak-sedak.

“Hahahahahahahahaha!!!”

Ketawa pecah berdekah-dekah. Padil gelak paling kuat di antara semua. Betapa bangganya dia dapat menumbuk wajah kecil milik tubuh kurus kering itu tadi. Aksi Meon yang memusing setelah mukanya ditumbuk tidak ubah seperti aksi di dalam filem Tamil.

“Nak lagi?”

Meon bangun perlahan-lahan. Tangannya menyapu selut-selut yang sudah menjadi seperti topeng. Kalau dibiarkan kering, pasti boleh jadi seperti clay mask yang dipakai wanita-wanita kononnya untuk mencantikkan kulit.

Padil masih lagi ketawa. Perutnya yang boroi seperti perut orang kaki todi terhinggut-hinggut sekali. Kalau diikutkan hati, mahu saja Meon cucuk perut Padil dengan jarum, biar meletup macam belon.

Meon angkat kaki dari situ. Kalau ditunnggu lagi, bukannya dapat main. Kalau merayu macam mana sekali pun, tetapi Padil tidak membenarkan Meon main bersama. Entah-entah, lagi teruk pula tubuh kurus kering yang hanya punya tulang dan kulit milik Meon dibelasah.

“Buruk! Buruk! Buruk!”

Meon pekakkan telinga. Meon tidak marah. Malah, telinga Meon sudah lali dengan panggilan itu. Sudah jadi seperti nama glamour pula. Meon tidak pasti kenapa dia dipanggil buruk. Kata emak, Meon kacak, Meon tampan. Tapi kena tunggu sampai Meon besar. Sekarang ini pun bukan Meon tidak kacak, tidak tampan. Kata emak lagi, cuma Meon comot sahaja, bukan buruk.

Meon tengok Padil pun bukannya elok sangat. Kulitnya hitam legam dan ada kudis. Giginya rongak dimakan ulat dan perutnya boroi. Kepalanya pula gondol. Emak Padil membotakkan kepala Padil kerana kutu suka benar tinggal di sana. Kenapa pula orang tak panggil dia buruk? Kenapa Padil sendiri tak panggil dirinya buruk?

“Busuk! Busuk! Busuk!”

Meon mempercepatkan langkah. Meon tahu dirinya busuk. Bukan Meon seorang, tapi Padil dan kawan-kawan juga berbau busuk. Emak dan adik-adik juga busuk. Malah, orang-orang yang tinggal di kawasan setinggan ini semuanya busuk. 

Macam mana tidak busuk kalau mandi pun hanya sekali sehari. Bekalan air juga dicatu. Kalau ada yang rajin, bolehlah mengangkut air dari sungai yang jaraknya lebih tiga kilometer dari kawasan setinggan ini. Kalau nak berjalan sambil mengangkut air sejauh itu, boleh gugur tempurung lutut. Kalau hendak naik kenderaan, siapa yang ada kenderaan di sini? Penduduk di kawasan setinggan ini daif. Kalau punya basikal itu sudah dianggap berada.

“Buruk! Busuk! Puiiiihhhh!”

Kahak putih susu melekat di atas kepala Meon. Meon sapu kahak itu dengan tangan lalu mengelapkannya pada baju. Meon berpaling pada Padil dan konco-konconya. Mereka semua terbahak-bahak gelakkan Meon.

Meon atur langkah sambil matanya tidak lepas memandang budak-budak itu. Meon sedih, Meon marah, Meon geram. Tetapi Meon tidak mampu mengubah mereka supaya sukakan Meon.

Meon berjalan lagi. Tiba-tiba Meon terlanggar sesuatu; besar tetapi lembik. Meon tersentak.

“Hoi budak ini!”

Klik SINI untuk membaca Bab 2 


Klik LIKE atau SHARE jika anda suka entri ini. Please help me to spread the words.

1 000 orang comel komen sini:

Tanpa Nama berkata...

Nice..tp xtau cner nak bg idea :-)e..tc

 

Hani El Zahra Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review