Jenab Kembang mengaduh. Urat-urat pinggangnya terpulas, barangkali
sudah bersimpul. Beg plastik yang dibawanya tersadai di sebelah.
Bawang besar dua kilo yang diborong di kedai Senah Rempit tadi tergolek di sana
sini. Ada juga yang tergolek masuk ke dalam longkang yang baunya mengalahkan
bau bangkai biawak.
Paling Jenab Kembang tidak tahan, telapak tangannya mendarat
elok-elok di atas najis lembu. Masih lembik dan panas lagi. Lahabau punya lembu! Ini mesti kerja
lembu-lembu si Sugumaran! Lembu-lembu dia sahaja yang suka meronda di sini!
Tuduh Jenab Kembang di dalam hati.
Meon terkebil-kebil. Sangkanya dia terlanggar lembu tadi,
rupa-rupanya manusia. Cepat-cepat Meon kutip bawang-bawang yang masih boleh
diselamatkan lalu dimasukkan semula ke dalam beg plastik. Dalam hati Meon
menikus. Meon takut benar kalau tapak tangan Jenab Kembang yang sememangnya
kembang itu naik ke muka Meon. Meon tidak sanggup wajahnya bertempek najis
lembu.
Padil dan budak-budak itu semakin galak. Kalau tadi mereka hanya
gelakkan Meon, tetapi sekarang aksi berani mati Jenab Kembang membuatkan
budak-budak itu semakin menjadi-jadi. Urat perut mereka seperti hendak putus
melihat Jenab Kembang landing baik
punya. Mereka amat pasti, Meon pasti dimaki hamun dek Jenab Kembang nanti.
“Setan punya budak-budak! Kau orang gelakkan aku ya?!”
Jenab Kembang menggentel-gentel najis lembu yang bertempek itu
menjadi sebesar guli, lalu dibaling ke arah budak-budak berlima itu. Mereka
bertempiaran menyelamatkan diri dari terkena peluru tidak berpandu Jenab
Kembang.
“Nah! Amik lagi!”
Peluru berbau kelat dan masam itu berterbangan di udara. Beberapa butir mengenai sasaran. Budak-budak
itu pula terjerit-jerit seperti terkena histeria apabila peluru Jenab Kembang
mengenai tubuh mereka. Mangsa yang paling parah tentunya Padil. Lariannya tidak
sekuat budak-budak yang lain. Perutnya yang boroi itu bergoyang-goyang.
“Rasakan! Kau orang gelakkan aku lagi ya?! Amik ni!”
Meon ternganga melihat Jenab Kembang yang seakan-akan lupa diri mengalahkan
perangai kanak-kanak darjah dua. Tetapi Meon tidak mahu masuk campur. Meon
tidak mahu dirinya pula yang menjadi mangsa peluru najis lembu itu. Eeeiii,
tak sanggup!
Setelah budak-budak berlima yang terpekik terlolong seperti baru
disampuk jin itu jauh menghilangkan diri, barulah Jenab Kembang berhenti.
Termengah-mengah wanita separuh abad itu. Dadanya berombak sakan. Padahal dia
bukannya berlari seperti budak-budak itu pun. Dia masih terduduk di situ.
“Mak cik…minta maaf!” berkerut-kerut muka Meon. Beg plastik berisi
bawang yang dikutip tadi dihulur ke arah Jenab Kembang.
“Hei, aku pula nak kena minta maaf kat kau? Banyak hensem muka kau?! Ni…kau nampak tangan
aku ni? Nak aku tempek kat muka kau pula?!”
“Erk..” Meon menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Baru dia
sedar bahawa ayat serta intonasi yang digunakan tadi salah. Tentu Jenab Kembang
juga tersalah tafsir.
“Bukan, bukan! Aku minta maaf mak cik.”
Jenab Kembang mendengus. “Banyaklah kau punya maaf! Tangan aku ni, siapa
nak cuci? Kau nak cuci?”
“Erk…tak nak!”
Meon memecut. Sumpah dia tidak mahu mencuci tangan Jenab Kembang yang
bertempek najis lembu itu. Walaupun diberi upah lima puluh sen pun dia tidak
sanggup!
“Hoi! Kalau ye pun, tolonglah angkat aku bangun!” jerit Jenab
Kembang.
Meon tidak berpaling pun. Dia takut Jenab Kembang hanya membuat
muslihat. Entah-entah kalau dia menolong Jenab Kembang bangun, nanti dia akan
dipaksa mencuci tangan Jenab Kembang pula. Meon tidak mahu! Lagipun Jenab
Kembang berat. Mustahil budak lelaki bertubuh kecil sepertinya mampu mengangkat
Jenab Kembang.
Meon terus memecut, sampai bayang Jenab Kembang pun tidak dapat
dilihat lagi. Lagipun waktu sudah hampir maghrib. Kata emak, kalau langit
semakin gelap, maksudnya sudah hendak masuk waktu maghrib. Kata emak lagi,
kalau sudah masuk waktu maghrib, banyak hantu merayau-rayau di sini.
Meon tidak pernah tengok hantu. Kalau pernah pun, Meon ternampak di
kaca televisyen di gerai makan Ramli Sirap. Orang cakap wajah hantu hodoh dan
menakutkan. Tapi bila Meon nampak di kaca televisyen hari itu, macam manusia
yang bertempek bedak sejuk sahaja.
Kalau begitulah rupa sebenar hantu, maknanya hari-hari Meon nampak
hantu. Emak hari-hari pakai bedak sejuk. Rambut emak juga mengerbang macam
hantu. Jadi tiada beza antara rupa hantu dengan emak. Buat apa Meon takut
dengan hantu kalau rupa hantu sama saja macam rupa emak?
Meon lega. Dia kini betul-betul berada di hadapan pintu rumahnya
yang sudah tertutup rapat. Memang kebiasaan apabila petang semakin tua, emak
akan menutup pintu. Selalunya Meon pulang awal, sebelum emak menutup pintu.
Cuma hari ini Meon terlewat sedikit.
Meon baru sahaja hendak menguak pintu apabila satu lembaga bertempek
bedak sejuk dengan rambut mengerbang, terlebih dahulu membuka pintu sambil
bercekak pinggang menyambut kepulangan Meon.
2 000 orang comel komen sini:
salam kenal..
aunty kiss kat sini..
salam kenal aunty...thanks for reading ya ^_^
Catat Ulasan